SEPANG: Seorang wanita yang merupakan seorang pegawai imigresen dan teman lelakinya telah ditahan oleh pihak polis kerana disyaki mempunyai kaitan dengan kematian seorang bayi perempuan di sebuah pangsapuri., lapor Bernama.
Bayi berkenaan yang baru berusia setahun tujuh bulan itu dilaporkan telah meninggal dunia dipercayai akibat dihempas ke lantai.
Pada mulanya teman lelaki ibu bayi malang berkenaan telah menghantarnya ke bayi itu ke sebuah hospital swasta di Putra Perdana kira-kira jam 12.00 tengah hari 31 Mac lalu selepas bayi tersebut tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia pada pukul 2.00 petang dan hasil bedah siasat di Hospital Serdang pagi semalam mendapati punca utama kematian bayi perempuan berkenaan adalah pendarahan di kepala dan perut akibat hentakan objek tumpul.
Pihak polis dilaporkan telah bertindak menahan lelaki berusia 22 tahun tersebut dan ibu kandung bayi itu yang dikatakan dalam perjalanan pulang ke kampungnya di Alor Setar, Kedah untuk urusan pengebumian.
Hasil siasatan awal mendapati anak bongsu dari tiga adik beradik itu dikatakan telah menangis mahu mengikut ibunya ke tempat kerja namun salah seorang daripada suspek berang lalu mendukung dan menghempas bayi itu ke lantai.
Wanita berkenaan dikatakan sedang mengalami masalah rumahtangga dan sudah hampir 4 bulan tidak berhubung dengan suaminya dan mengambil keputusan keluar dari rumah bapa mertuanya di Sungai Buloh untuk tinggal menyewa di Putra Perdana.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Siakapkeli.my