Sebelum ini, banyak haiwan mati akibat kebuluran dan kurang penjagaan di zoo yang terletak di Khan Younis, Genting Gaza itu ekoran konflik antara Palestin de­ngan Israel yang berlarutan sejak hampir sedekad yang lalu.
Mula dibuka pada tahun 2007 dengan pelaburan mencecah ratusan ribu dolar Amerika Syarikat (AS) oleh seorang pengusaha, Mohamed Awaida, zoo itu turut dikenali dengan nama South Forest Park.
Bagaimanapun, tidak sampai setahun selepas dibuka, Mohammed mula mengalami kerugian selepas episod serangan oleh tentera Israel terhadap pejuang Hamas.
Katanya, dalam tempoh tiga minggu serangan itu, dia tidak dapat mengunjungi zoo tersebut sehingga menyebabkan banyak haiwan mati akibat terbiar dan kebuluran.
Kejadian hampir sama berlaku dalam perang Gaza dua tahun lalu apabila bukan sahaja lebih daripada 2,000 warga Palestin dan Israel terkorban, malah turut membunuh 80 daripada 100 ekor haiwan di Zoo Al-Bisan di Beit Lahiya dekat sini.
Dalam pada itu, bagi ‘memulihkan’ kembali zoo miliknya, Mohammed cuba menggunakan kaedah awet terhadap haiwan-haiwan yang mati akibat pepe­rangan tersebut.
“Idea ini tercetus kerana saya melihat banyak haiwan mati termasuklah singa, harimau, monyet, dan buaya. Untuk itu, kami banyak bertanya dan belajar daripada laman web bagaimana untuk melakukannya,” katanya.
Meskipun bukan pakar, namun Mohammed memilih untuk mencuba kaedah tersebut dengan menggunakan formaldehid iaitu sejenis bahan kimia dan habuk kayu serta perkakasan asas yang lain untuk tujuan berkenaan.
Zoo-zoo di Gaza sememang­nya terkenal dengan pelbagai kaedah aneh untuk mengatasi krisis kekurangan haiwan akibat masalah peperangan.
Sebagai contoh, pada tahun 2009, seekor keldai terpaksa dicat dengan warna belang hitam putih seperti zebra kerana harga untuk menggantikan haiwan tersebut yang mati akibat krisis agak mahal