LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close
-

Watson Nyambek Diisytihar Muflis, Berhutang Demi Bayar Kos Rawatan Bapa


KUCHING: Bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek yang merupakan pemegang rekod pecut 100 meter negara selama 17 tahun telah diisytiharkan muflis.

Pengisytiharan muflis berkenaan adalah susulan pinjaman bank  oleh Watson untuk membayar kos perubatan bapanya.

Semalam, Borneo Post telah menyiarkan notis muflis berkenaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia bagi mengumumkan statusnya akibat tidak melunaskan pinjaman Bank Islam Malaysia Berhad.

Memetik laporan Malay Mail Online, Watson berkata: “Beberapa tahun lalu, saya meminjam RM80,000 daripada bank untuk membayar bil perubatan mendiang bapa saya yang menderita barah telinga.”

“Barah telinga itu kemudian merebak ke mata. Dia meninggal dunia dua tahun lalu,”katanya, yang pernah mencipta rekod 100 meter dengan 10.3 saat pada 1998.

Menurut Watson, pinjaman bersama faedah itu gagal dilunaskannya kerana bergaji kecil yang diterima daripada majlis sukan negeri sebagai jurulatih atlet di Miri.

“Saya juga perlu membayar bil-bil lain,” katanya, yang sudah membawa perkara itu untuk perhatian seorang menteri kanan Sarawak dua tahun lalu.

“Saya belum menerima sebarang jawapan daripada beliau,” katanya.

Beliau berkata pinjaman berserta faedah itu sudah menjangkau lebih RM100,000.

Watson dan isterinya Phyliss kini aktif melatih atlet muda di Miri terutamanya di kalangan pelajar. — 
Sumber : Siakapkeli.my