Menurut beliau, luka akibat serangan jantung itu lambat sembuh berikutan penyakit kencing manis yang dihidapinya walaupun telah lebih seminggu menjalani dua prosedur angiogram.
“Saya belum stabil sepenuhnya kerana dada rasa seperti 'bergoncang' dan berdebar dengan kuat. Itu yang jadi masalah saya sekarang.
“Apa yang dilakukan doktor sekarang adalah mengawal kadar gula dalam darah supaya turun pada bacaan lima sekali gus dapat mempercepatkan penyembuhan otot yang luka,” katanya ketika ditemui di Pusat Pendidikan Al Barakah di Kampung Manjoi, di sini hari ini.
Yang turut hadir, abang beliau, Datuk Mohd. Najmuddin dan Pengerusi Yayasan Dakwah Islamiah Darul Ridzuan (Kadir), Datuk Azhar Ahmad.
Pada pertemuan itu, Azhar yang mewakili kerajaan negeri turut menyampaikan sumbangan bernilai RM500,000 kepada Pusat Pendidikan Al Barakah bagi menampung perbelanjaan pengurusan pusat tersebut.
Mohd. Kazim memberitahu, beliau tidak menyangka mengalami masalah jantung sehinggalah dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan penyakit itu pada 19 Februari lalu.
Menurut beliau, serangan jantung yang dialaminya itu amat mengejutkan kerana pemeriksaan kesihatan yang dilakukan sebelum ini tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda menghidap penyakit tersebut.
“Saya seorang yang mengamalkan pemakanan sihat, suka mendaki dan rajin panjat bukit. Saya juga tidak suka naik lif dan gemar menggunakan tangga, sebab itu saya tidak pernah rasa penat.
“Jadi bila ada (masalah) jantung, ini sangat mengejutkan kerana saya sangat menjaga pemakanan. Aktiviti bersenam, mendaki dan bermain badminton adalah hobi saya,” katanya.
Tambah beliau, keadaan kesihatannya itu juga menyebabkan beliau tidak boleh menonton perlawanan bola atau melihat orang dalam jumlah yang ramai.
“Saya tidak boleh tengok bola, bila tengok dada saya akan berdebar. Tengok berita pun begitu. Sekarang saya hanya tengok haiwan dalam National Geographic. Semalam saya cuba tonton perlawanan bola antara Kedah dan Kelantan pun tidak boleh.
“Saya mahu cepat sembuh kerana keinginan untuk mengajar dan berceramah sentiasa meluap-luap. Malah apabila datang ke sini (Al Barakah), rasa lebih sihat berbanding hanya duduk di rumah,” katanya.
Orang ramai yang mahu menziarahi Ustaz Kazim boleh berkunjung ke Pusat Pendidikan Al Barakah pada setiap hari Sabtu dan Ahad.