LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close
-

Perhatian ! Bahana gagal lunaskan pinjaman PTPTN



PEMINJAM ‘tegar’ Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini berdepan kesukaran untuk membuat sebarang pinjaman pembiayaan.

Lebih teruk, mereka dihalang ke luar negara jika mempunyai rekod buruk dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS).

Seperti yang dilaporkan di laman web PTPTN, sebanyak 170,000 nama peminjam yang gagal menjelaskan bayaran dimasukkan dalam senarai hitam CCRIS Bank Negara Malaysia (BNM) sejak Jun lalu.

Ketua Pegawai Operasi, Aliy Property Advisors Sdn. Bhd., Fazrul Musa, 26, berkata, kesukaran itu bakal dihadapi oleh peminjam-peminjam yang masih berdegil untuk menjelaskan sebarang bayaran PTPTN sehingga kini.

Tidak sedar

“Sebenarnya, ramai peminjam tidak sedar bahawa pinjaman PTPTN mereka sudah mula disenarai hitamkan. Mereka hanya mengetahui perkara itu selepas permohonan pembiayaan mereka ditolak ‘mentah-mentah’.

“Kesan sikap sambil lewa untuk membayar PTPTN inilah yang menyebabkan nama mereka mempunyai rekod buruk dalam CCRIS, sekali gus sukar mendapat sebarang pembiayaan bank kerana ia melibatkan komitmen lebih tinggi.

“Perkara ini tidak boleh dipandang mudah. Walau apa cara sekali pun, peminjam perlu mula membayar PTPTN bagi memastikan rekod baik dalam CCRIS. Jika tidak, sewalah rumah seumur hidup,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini

Bagaimanapun, Fazrul menjelaskan, terdapat beberapa langkah penyelesaian yang disediakan PTPTN buat peminjam untuk ‘membersihkan’ nama mereka daripada rekod buruk CCRIS.

Tambahnya, peminjam boleh mengeluarkan akaun kedua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menjelaskan pembayaran pinjaman PTPTN mereka.

“Kedua ialah menstrukturkan semula pembiayaan PTPTN dengan amaun ansuran tidak melebihi usia 60 tahun mengikut kesesuaian peminjam.

“Jika peminjam berkemampuan, mereka boleh membuat pembayaran hutang secara sekali gus dan cuba mendapatkan diskaun daripada pihak PTPTN.

“Bagi saya, perkara paling penting ialah peminjam perlu berbincang dengan PTPTN untuk mendapatkan solusi mengikut kemampuan individu tertentu,” jelasnya.

Perancangan

Dalam masa sama, Fazrul yang juga konsultan hartanah menggesa peminjam-peminjam PTPTN memulakan pembayaran mereka secepat mungkin jika berhasrat mempunyai kediaman sendiri kelak.

Dalam pada itu, bagi mengelakkan daripada gagal membayar pinjaman PTPTN selepas tamat pengajian, graduan dan pekerja baharu perlu menitikberatkan perancangan kewangan sesuai dengan kemampuan diri.

Setiap graduan dan pekerja baharu perlu berfikir untuk tempoh masa panjang dan merancang untung bagi meningkatkan pola kewangan peribadi sekurang-kurangnya dalam tempoh lima, 10 atau 40 tahun akan datang.

Elak daripada berbelanja lebih daripada kemampuan kewangan dan dahulukan keperluan daripada keinginan. Ukur pendapatan terlebih dahulu dan sesuaikan secara bijak dengan kehidupan semasa.

Pantau segala transaksi keluar masuk kewangan dan sebaiknya aturkan urusan keluar masuk duit serta tetapkan perbelanjaan setiap hari.

Yang paling utama, graduan dan pekerja baharu perlu mengasingkan kewangan bagi melunaskan tanggungjawab pinjaman dan paling utama ialah simpanan untuk masa hadapan pasca persaraan.

Elakkan daripada bergaul dengan kelompok rakan yang suka berbelanja besar supaya tidak terpengaruh dengan gaya hidup mewah di luar kemampuan.

Perancangan kewangan merupakan kunci utama dalam memastikan perjalanan kehidupan menjadi lebih lancar dan masa hadapan yang terjamin.

Setiap graduan dan pekerja baharu perlu memahami konteks perancangan kewangan yang sistematik serta betul supaya dapat mengelakkan diri daripada terjerumus ke kancah hutang.

Adalah lebih baik untuk mereka mendapatkan konsultasi daripada pakar atau menyertai sebarang kelas serta bengkel berkenaan perancangan kewangan.


Sumber : Kosmo