Siti Nurjeha
Itu kata-kata terakhir Mohd. Zaki Mamat, 47, kepada kakak sulungnya, Hamidah, 52, bagi memaklumkan perjalanan pulang keluarganya ke kampung mereka di Kubang Kerian, Kelantan, sempena musim cuti persekolahan bagi melawat ibunya yang uzur.
Bagaimanapun, hajat keluarga itu tidak kesampaian apabila Mohd. Zaki dan isterinya, Jamilah Hussen, 46, serta dua anak mereka iaitu Muhammad Zamil Izuddin, 19, serta Muhammad Zamil Syazwan, 14, maut dalam kemalangan di Kilometer 106 Jalan Kuantan-Segamat, di sini kira-kira pukul 8.50 malam tadi.
Dua lagi anak pasangan berkenaan, Siti Nurjeha, 18, dan Siti Nur Nabilah, 10, pula cedera parah.

Hamidah berkata, Mohd. Zaki yang merupakan seorang pemandu lori kerap pulang ke kampung di Kubang Kerian bagi melawat sanak saudara setiap kali musim cuti persekolahan.
Wanita itu bagaimanapun tidak menyangka kepulangan adiknya yang merupakan anak kedua daripada lima beradik malam tadi untuk melawat ibu mereka, Hasmah Hussein, 74, selain untuk menghadiri kenduri berakhir dengan tragedi.

Katanya, dia sedang menyiapkan tempat tidur keluarga Mohd. Zaki ketika menerima panggilan daripada adiknya, Mohd. Fadli yang bekerja sebagai bomba di Melaka memaklumkan kemalangan tersebut kira-kira pukul 9 malam sebelum bergegas ke Hospital Muadzam, dekat sini.

Sebelum itu, katanya, Mohd. Zaki memaklumkan keluarganya sedang dalam perjalanan pulang ke Kubang Kerian dari Merlimau, Melaka dan dijangka tiba pada pukul 2 pagi.
“Kali terakhir saya bercakap dengan arwah adalah sewaktu menerima panggilan telefon daripadanya kira-kira pukul 7.30 malam tadi selepas Maghrib. Ketika itu arwah tidak bercakap banyak,” katanya di pekarangan Unit Forensik Hospital Muadzam di sini hari ini.

Menurut Hamidah, jenazah empat beranak itu akan dikebumikan di Kampung Bacang, Merlimau memandangkan kedudukan kawasan itu lebih dekat berbanding Kubang Kerian yang hanya memerlukan perjalanan selama kira-kira dua jam perjalanan dari Muadzam.
Katanya, majlis pengkebumian itu dirancang diadakan selepas solat Asar hari ini.
Sementara itu, kakak Jamilah, Asnah Hussin, 50, memberitahu, keluarganya berasal dari Pulau Krimas, Australia dan adiknya pulang untuk bersekolah dan menetap di negara ini pada awal 80-an sebelum diikuti dua kakaknya.

“Tiga lagi adik-beradik kami masih menetap di Pulau Krismas. Mereka sudah dimaklumkan berhubung kejadian ini dan dalam perjalanan dengan menaiki pesawat ke negara ini,” katanya.