Hasmiza, yang lebih dikenali dengan panggilan Datuk Vida berkata, siasatan lanjut itu penting untuk mengetahui dakwaan yang dibuat itu benar atau sebaliknya.
Menurutnya, jika perkara itu benar Kafa perlu mengambil langkah segera untuk mengelakkan suasana menjadi lebih keruh sehingga menyebabkan pasukan menjadi kelam-kabut.
“Bagi saya ini bukan satu perkara yang boleh dipandang remah kerana dilihat sudah mempengaruhi persembahan pasukan,” katanya.

Beliau yang merupakan penaja utama pasukan Pamoga Qu Puteh The Red Warriors (PQPTRW) menerusi syarikat Vida Beauty berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas diminta mengulas mengenai wujudnya campur tangan dalam pengurusan pasukan PQPTRW.

Utusan Malaysia semalam me­laporkan, seorang pemain mendedahkan ada tangan hitam mencampuri urusan pentadbiran skuad PQPTRW sehingga menyebabkan pemain-pemain tidak selesa dan menjadi punca kepada persembahan hambar dipamerkan mereka sepanjang kempen Liga Super setakat ini.
Dr. Vida memberitahu, beliau bukan hendak mencampuri urusan pasukan, tetapi sebagai penaja sudah menjadi keutamaan untuk mengetahui sama ada wujud atau tidak masalah itu.

“Sebagai penaja utama, saya mahu lihat Kelantan melangkah jauh dalam Liga Malaysia musim ini. Rugi besarlah saya jika masalah ini menyebabkan prestasi pasukan merudum,” ujarnya.
Mengulas mengenai hasrat pemain PQPTRW yang mahu Azman Ibrahim kembali semula ke pangkuan pasukan sebagai pengurus, Datuk Vida memberitahu, dia bersedia mempertimbangkan perkara tersebut.
Katanya, bagaimanapun pemain PQPTRW perlu menunjukkan aksi positif terlebih dahulu sebelum beliau bertemu dengan pucuk pimpinan Kafa untuk membincangkan perkara itu.
“Saya difahamkan Azman kini adalah Ketua Pegawai Operasi Liga Rakyat dan perkara itu memerlukan penelitian sebelum membuat keputusan,” ujarnya.