Ini yang terjadi terhadap seorang wanita, Jamilah (bukan nama sebenar), 34, yang merupakan isteri kepada Samad (bukan nama sebenar), 40, dan mempunyai dua orang anak.
Menurut Jamilah, dia dan suaminya merupakan pasangan suami isteri yang sibuk. Mereka selalu keluar daerah atas urusan kerja dan dalam seminggu cuma beberapa hari sahaja dapat bersua muka.
Namun, semua itu, bukanlah satu halangan bagi Jamilah mahupun dan suaminya, kerana mereka bahagia dengan kehidupan sebegitu. Anak-anak dijaga oleh ibu Jamilah di kampung dan setiap hujung minggu mereka seberapa mungkin cuba untuk balik kampung untuk bertemu dengan kedua-dua anak mereka.
“Saya sebenarnya ingin menjadi seorang ibu yang normal. Duduk bersama anak, menyambut suami balik dari tempat kerja setiap hari, memasak dan melakukan kerja-kerja rumah. Tapi atas sebab kekangan kerja, saya tidak dapat melakukan semua itu. Apa pun saya bersyukur kerana mempunyai suami yang tidak banyak kerenah dan sentiasa merestui apa yang saya lakukan.
“Tambahan pula, kerja sebagai pegawai perhubungan awam sebuah syarikat bertaraf antarabangsa memerlukan saya melakukan banyak kerja luar. Samad, juga seorang suami yang sibuk, sekiranya saya ke luar daerah, dia ada di rumah dan apabila saya balik dia pula kena menyiapkan kerja-kerjanya di tapak pembinaan.
“Hubungan kami berdua dieratkan dengan telefon bimbit dan aplikasi di talian internet. Biarpun kami berdua sibuk, kami tetap merancang agar mempunyai masa untuk anak-anak dan bercuti sebulan sekali untuk beberapa hari. Bermakna kehidupan kami sentiasa ada bersama di saat saya memerlukan suami, begitu juga dia.
“Saya merasakan kehidupan berkeluarga kami adalah normal sebagaimana pasangan lain. Saya berasa nikmat berumah tangga sehingga ke angka 10 tahun perkahwinan kami. Saya juga gembira biarpun kami sentiasa berjauhan, suami tidak pernah curang setakat yang saya tahu,” katanya yang memberitahu pada mulanya merancang akan berhenti kerja dalam setahun dua ini untuk menumpukan perhatian kepada keluarga.
Namun, apa yang membuatkan Jamilah merasa tertipu apabila pada satu hari dia terjumpa kad perakuan perkahwinan suaminya dengan seorang wanita lain. Kad tersebut ditemui ketika dia mahu mengemas beg baju suaminya yang baharu saja balik dari luar daerah. Samad ketika itu berada di dalam bilik air membersihkan diri.
Pada mulanya Jamilah menyangka, suaminya mempunyai hubungan sulit dengan perempuan lain dan berkahwin dengan wanita itu, namun kebenarannya adalah, Samad telah mengahwini perempuan tersebut sejak 15 tahun lalu.
Ini bermakna Jamilah merupakan isteri kedua Samad dan lelaki itu telah menyembunyikan kebenaran itu sepanjang tempoh perkahwinan mereka selama 10 tahun.
“Ketika itu hati saya umpama kaca jatuh ke batu, remuk-redam dan kecewa rasanya diperlakukan begitu. Mengapa dia harus menyembunyikan perkara sebenar. Saya tidak pernah tahu yang Samad sebelum ini pernah berkahwin dan dia sendiri tidak pernah menyebut perkara itu.
“Sebaik Samad keluar dari bilik air, semua pertanyaan yang bermain dalam kepala, saya lontarkan kepadanya bertalu-talu. Pada mulanya Samad hanya mendiamkan diri, namun melihatkan saya sudah mula memekik dan naik angin, dia berkata memang sudah berkahwin sebelum ini dan mempunyai dua orang cahaya mata dan hubungan dirinya dengan isteri pertama juga baik.
“Dia menyatakan tiada apa pun yang akan berubah biarpun saya mengetahui rahsia berkenaan kerana hubungan kami selama ini baik-baik sahaja. Dia mengatakan status sebagai isteri kedua atau pertama tidak menjadi halangan kerana semuanya tidak membawa hal bagi dirinya,” kata Jamilah.
Tetapi menurut Jamilah, sebagai wanita dan isteri, dia mempunyai prinsip sendiri. Dia tidak mahu menjadi penyebab kepada kehancuran rumah tangga orang lain dan tidak mahu hidup bermadu.
Apatah lagi selama ini dia tidak mengetahui status perkahwinannya yang berkongsi kasih, malah selama ini ditipu hidup-hidup oleh suaminya, biarpun apa sahaja alasan si suami atas dasar kononnya untuk menjadikan perkahwinan mereka rukun damai.
Jamilah memberitahu, isteri pertama suaminya berada di utara tanah air dan sibuk menguruskan perniagaan sendiri. Sebagaimana dirinya, isteri pertama Samad juga tidak mengetahui perkara sebenar yang suaminya itu telah berkahwin lain.
“Saya terjumpa kad pengesahan perkahwinan itu kerana dia baharu sahaja balik bercuti bersama isteri pertamanya dan anak-anak di pantai timur. Agaknya tuhan hendak tunjuk, dia terlupa hendak menyembunyikan kad berkenaan.
“Selama ini segala tindak-tanduknya teratur, itu sebab perkahwinan ini tersembunyi. Lagipun suami saya ini tidak banyak kawan, hubungan saudara mara pun jauh kerana dia seorang anak yatim piatu.
“Kalau hari-hari perayaan kami memang beraya di rumah ibu dan bapa saya sahaja, kerana dia tiada saudara mara yang dekat,” kata Jamilah.
Rentetan daripada peristiwa itu, Jamilah menjadi semakin tawar rasa kasihnya kepada Samad. Dia nekad untuk meminta cerai daripada Samad kerana rasa tertipu dan menganggap lelaki itu tidak ikhlas berkahwin dengannya.
“Biarpun orang kata Samad seorang lelaki yang baik dan bertanggungjawab, malah saya sendiri mengakuinya, namun hati saya ini sakit sangat kerana ditipu oleh suami sendiri.
“Biarpun isteri pertama tidak mengetahui status hidupnya yang telah dimadu, saya tetap rasa cukuplah sampai di sini kerana saya enggan berkongsi kasih, apatah lagi kerana saya sudah mengetahui status sebenar diri saya.
“Apa yang saya gusarkan sekarang ialah bagaimana hendak memberitahu kedua orang tua saya di kampung juga anak-anak tentang hal berkenaan,” katanya yang sudah dua minggu tidak bertegur sapa dengan suaminya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/10-tahun-dimadu-tanpa-sedar-1.198777#sthash.VdvdeiYx.dpuf - See more at: http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/10-tahun-dimadu-tanpa-sedar-1.198777#sthash.VdvdeiYx.dpuf