Tidak hanya itu, kadangkala kita juga mendengar tentang kematian kanak-kanak yang diakibatkan oleh beg udara yang menggelembung akibat hentaman kuat berlaku pada kereta.
Sudah sedia maklum, kanak-kanak yang berada di dalam kereta amat terdedah kepada kecederaan apabila berlaku kemalangan sekiranya keselamatan mereka tidak dititikberatkan.
Statistik yang diperoleh daripada Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros), menunjukkan kematian kanak-kanak boleh dikurangkan sehingga 70 peratus (54 peratus bagi kanak-kanak berumur antara satu hingga empat tahun dan 59 peratus bagi kanak-kanak berumur antara empat hingga tujuh) menerusi penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang sesuai.
Di negara ini biarpun penggunaan kerusi kanak-kanak masih lagi belum ‘diwajibkan’ dan dikuatkuasakan sepenuhnya, namun setakat ini kerusi keselamatan kanak-kanak merupakan cara terbaik untuk melindungi mereka termasuk boleh mengurangkan risiko cedera parah bagi bayi ketika kemalangan berlaku.
Bagaimanapun, penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak sahaja dilihat tidak memadai jika tidak digunakan dengan cara yang betul.

Bagi mendapatkan kerusi keselamatan yang terbaik buat kanak-kanak, ibu bapa perlu mengikuti segala garis panduan yang telah ditetapkan dalam usaha memastikan keselamatan mereka terjamin.
Ibu bapa tidak perlu membazirkan duit dengan membeli kerusi keselamatan yang paling mahal hanya untuk mendapatkan yang terbaik.
Kerusi keselamatan perlu bersesuaian dengan umur, saiz, berat, dan tinggi anak-anak anda.
Kerusi keselamatan kanak-kanak menghadap belakang sememangnya telah direka khas untuk kanak-kanak yang berumur bawah dua tahun.

Pada peringkat umur ini, kanak-kanak berisiko untuk mengalami kecederaan pada bahagian kepala atau saraf tunjang kerana tulang serta ligamen mereka masih di peringkat tumbesaran.
Kerusi keselamatan kanak-kanak menghadap belakang biasanya menyokong sepenuhnya bahagian belakang badan, leher, kepala, dan pelvis bayi atau kanak-kanak kecil, memandangkan seluruh bahagian tersebut terdedah kepada kecederaan apabila berlaku kemalangan.
Apabila kanak-kanak didudukkan pada kerusi keselamatan menghadap belakang dan jika kemalangan berlaku, kepala mereka akan bergerak ke kerusi kereta yang boleh menjadi pelindung tambahan perlindungan tambahan daripada bahagian sisi.

Sebaliknya, jika kerusi keselamatan kanak-kanak itu mengadap ke bahagian hadapan, kepala kanak-kanak tersebut akan bergerak jauh dari kerusi dan tidak mendapat sokongan tambahan daripada sisi.
Sekiranya ketinggian anak dan berat sudah melebihi had kerusi keselamatan kanak-kanak, seelok-eloknya ditukarkan kepada kerusi keselamatan yang sesuai dengan saiz mereka.
Kerusi keselamatan kanak-kanak menghadap depan lazimnya digunakan oleh kanak-kanak yang berumur antara dua hingga lima tahun, yang mempunyai belakang dan otot leher yang kuat.
Memandangkan anak akan terus membesar, ibu bapa boleh menggunakan kerusi keselamatan yang sama sehingga tali pinggang keselamatannya mampu menampung atau muat dengan saiz kanak-kanak itu dengan sempurna

Sebaik sahaja anda membeli kerusi keselamatan yang bersesuaian dengan anak-anak, langkah seterusnya ialah mengetahui bagaimana untuk meletakkan kerusi itu di posisi yang betul.
Kebanyakan ibu bapa sering melakukan kesalahan yang sama iaitu meletakkan kerusi keselamatan dengan cara yang salah, yang membawa lebih kemudaratan kepada kanak-kanak.
Untuk memastikan keselamatan berada di tahap yang maksimum, tali pinggang keselamatan seharusnya diketatkan untuk memastikan kerusi keselamatan kanak-kanak tidak bergerak walaupun seinci.
Apabila meletakkan kanak-kanak ke dalam kerusi keselamatan, anak-anak perlu duduk dalam keadaan di mana bahagian belakang dan bawah badan bersandar pada kerusi.
Pastikan tali pengikat diketatkan dan dilekatkan pada klip yang berada pada bahagian bahu atau pun ketiak mereka.

Sekiranya masih ada ruang antara tali pengikat dengan bahagian kelangkang anak, letakkan kain atau lampin pakai buang di ruang tersebut untuk memastikan badan anak anda rapat dengan kerusi.
Tempat di mana anda letakkan kerusi keselamatan kanak-kanak juga sama pentingnya. Tempat yang paling selamat meletakkan kerusi keselamatan ialah pada bahagian tengah tempat duduk belakang.
Kajian telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang diletakkan pada bahagian tengah belakang tempat duduk, kurang mendapat kecederaan apabila berlakunya kemalangan berbanding dengan kanak-kanak yang diletakkan pada posisi lain.

Walaupun beg udara boleh menyelamatkan nyawa, ia juga boleh mencederakan kanak-kanak dan bayi. Beg udara akan mengelembung serta- merta iaitu 20 milisaat selepas berlaku impak atau hentakan.
Oleh itu, adalah langkah terbaik jika kanak-kanak bawah umur 14 tahun duduk di kerusi belakang bagi mengurangkan risiko kecederaan jika berlaku kemalangan.
Tidak kira sama ada anda membawa anak untuk pemanduan yang singkat atau perjalanan jauh ketika bercuti, langkah-langkah keselamatan yang sempurna harus digunakan untuk mengelakkan anak daripada sebarang kecederaan.

Pastikan tali pinggang keselamatan kanak-kanak diketatkan sebelum memulakan perjalanan.