LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close
-

Kanak-kanak 8 Tahun Redah Salji Dalam Gelap Demi Menyelamatkan Neneknya

.

SIBERIA – Seorang kanak-kanak pe­rempuan berusia empat tahun berjalan kaki bersendirian sejauh lapan kilometer (km) selama tiga jam dalam kegelapan awal pagi yang bersalji semata-mata mahu mendapatkan bantuan untuk neneknya.

Saglana Salchak meredah salji setinggi paras dadanya sepanjang sungai di sebuah kawasan terpencil di Kyzyl, Republik Tuva, di kawasan yang dihuni oleh kum­pulan serigala.

Kanak-kanak itu yang tinggal bersama-sama nenek dan datuknya yang buta, tersedar awal pagi lantas memeluk neneknya yang berusia 60 tahun sebelum menyedari tubuh warga emas itu menjadi sejuk kerana meninggal dunia.

Dia mengejutkan datuknya yang kemudiannya menyuruh kanak-kanak itu mendapatkan bantuan jirannya tanpa menyedari keadaan di luar rumah masih gelap.

Saglana berjalan sepanjang sungai yang beku menuju ke rumah jirannya yang paling hampir iaitu kira-kira lapan kilometer dan akhirnya tiba di rumah berkenaan dalam kepenatan.

Dia hanya memberitahu jirannya yang mempunyai telefon satelit bahawa neneknya telah meninggal dunia.

“Saglana bernasib baik tidak dibaham serigala kerana jalan yang dilaluinya dihuni oleh haiwan berkenaan yang sering men­yerang lembu dan haiwan ternakan di sini,’’ kata seorang penduduk yang dipetik oleh portal Mirror.

Pihak berkuasa yang dihubungi oleh jiran kanak-kanak itu, kemudian menghantar seorang doktor yang mengesahkan neneknya te­lah meninggal dunia akibat se­rangan sakit jantung.

Menurut laporan Siberian Times, Saglana yang dipuji atas keberaniannya telah dihantar ke hospital dan beberapa ahli politik telah mengunjungi kanak-kanak itu untuk memberi penghargaan atas keberaniannya.

Rumah yang didiami Saglana bersama-sama datuk dan nenek­nya itu terletak kira-kira 249 kilometer dari tenggara Kyzyl yang me­rupakan ibu negara Republik Tuva.

Kawasan itu merupakan kawasan terpencil berhampiran hutan Por-Bajin yang misteri dan sebuah istana berusia 1,300 tahun dikatakan te­lah dibina di kawasan pergunungan itu untuk kediaman ‘puteri China yang mengalami kehi­dupan tragik’.-Utusan