02:37:00
Semasa
3,000 Individu Serbu JPN Selepas Terpedaya Dengan Viral Palsu
Putrajaya, 22 Julai: Kerana terpedaya dengan viral palsu yang kononnya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menganjurkan program pemberian warganegara kepada pemastautin tetap, jabatan itu diserbu lebih 3,000 individu yang mahu mengemukakan permohonanan.
Harian Metro melaporkan, Pegawai Perhubungan Awam JPN Fara Maya Ahmad Jelani berkata, orang ramai mulai hadir ke jabatan itu sejak Isnin lalu kerana 'program' itu didakwa dilaksanakan sepanjang minggu ini di dalam viral palsu tersebut.
"Bagaimanapun, lebih 3,000 hadir ke JPN sejak sebelum Subuh tadi untuk mengemukakan permohonan menyebabkan jabatan mengalami kesesakan luar biasa.
"Berikutan itu, kami terpaksa membenarkan mereka naik ke kaunter permohonan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan lebih teruk,"katanya.
Fara Maya turut berkata, pihaknya sudah pun memaklumkan viral itu tidak benar namun orang ramai tidak berganjak dan masih ingin membuat permohonan.
Sehubungan itu, katanya JPN tetap akan menerima permohonan menukar kad pengenalan dan permohonan warganegara seperti biasa di mana-mana pejabat JPN.
"Namun, ingin ditegaskan JPN tidak menjalankan sebarang program pemberian warganegara kepada orang yang tidak layak dan diluar Perlembagaan Malaysia," katanya.
Sumber : Harian Metro