Isteri aku sangat suka Facebook page ini. Aku harap dia baca tulisan aku dan kembali ke pangkuan aku. Maafkan abang, sayang.
Isteri aku adalah graduan UIA. Dulu, sebelum aku kenal isteri aku, aku sudah berkahwin tetapi isteri aku yang dulu berlaku curang. Yang curang itu biarlah aku namakan dia sebagai Mai.
Mai, setahun lebih tak balik ke rumah sebab ikut jantan lain. Setiap hari Mai mesej aku minta diceraikan. Tetapi aku tak menceraikan Mai sebab sayangkan anak-anak.
Aku ada dua orang anak lelaki. Kedua-duanya tinggal dengan aku sebab Mai gilakan jantan lain. Mai abaikan anak-anak. Di saat aku sedih dan masih mengharapkan isteri pulang, aku kenal isteri aku yang sekarang. Aku namakan dia sebagai Ain.
AIN MUNCUL DALAM HIDUPKU
Semasa aku kenal Ain, dia masih belajar di UIA. Pada mulanya, aku cuma berniat untuk mengisi kekosongan hidup. Langsung tiada niat untuk bernikah dengan Ain sebab aku masih sayangkan Mai dan berharap dia pulang.
Memandangkan Ain tinggal di asrama dan aku kerja tak jauh dari UIA, aku selalu menjemput Ain dan membawanya keluar. Aku kenalkan Ain kepada kawan-kawan tetapi di belakang Ain, aku beritahu mereka yang aku tak ada niat untuk bernikah dengannya.
Tetapi semakin lama aku kenal dia, aku nampak ketulusan hatinya. Aku puji budak-budak UIA, mereka jujur, amanah dan bertanggungjawab. Dalam diri Ain langsung tiada sifat penipu. Dia jauh berbeza dengan Mai.
Perkahwinan aku dengan Mai sentiasa penuh dengan makian. Dia langsung tidak menghormati aku sebagai seorang suami. Malah Mai juga menghantar mesej memaki hamun keluarga aku agar aku menceraikannya. Dayusnya aku ketika itu sebab bertahan dengan Mai. Tetapi demi anak-anak, aku pertahankan.
Bila aku semakin tertekan dengan permintaan Mai untuk menceraikannya, aku semakin rapat dengan Ain. Aku dapat merasakan yang aku semakin jatuh hati dengannya. Kawan-kawan aku juga menasihatkan agar melepaskan Mai dan serius dengan Ain.
KENALKAN AIN DENGAN ANAK-ANAK
Aku bawa Ain jumpa anak-anak aku. Pada awalnya anak-anak aku seperti kekok. Mereka seperti tidak dapatm enerima kehadiran Ain. Aku faham yang mereka memerlukan ibu kandung mereka. Oleh kerana aku dan Ain berasal dari satu negeri, aku bawa Ain jumpa dengan keluarga aku ketika hari raya. Aku tak sangka yang semua keluarga aku terlalu suka dengan kelembutan Ain. Mereka nasihatkan aku untuk melepaskan Mai.
Aku mula menerima Ain. Aku nasihatkan Ain untuk serasikan diri dia dengan anak-anak lelakiku. Seorang berusia 14 dan seorang lagi 12 tahun. Ain tak kisah, dia cuba sedaya upaya untuk memenangi hati anak-anak aku. Aku selesa dengan layanan Ain pada anak-anak aku. Lama kelamaan, anak-anak pun sayangkan Ain sehingga mereka tidak pernah bertanya langsung tentang ibu kandung mereka.
Aku mulai dapat melupakan Mai dan aku mula sayangkan Ain. Satu hari, Mai mesej aku lagi untuk meminta cerai dan aku setuju. Aku suruh dia jawab panggilan aku tetapi dia tidak sanggup. Aku tanya pendapat anak-anak dan mereka bersetuju untuk aku melepaskan ibu mereka.
Bayangkan betapa terlukanya hati anak-anak aku sebab diabaikan oleh ibu kandung mereka. Sampai mereka sudah tidak kisah bila ibu mereka tiada. Aku tanya juga pendapat mak, adik beradik yang lain. Semuanya bersetuju untuk aku lepaskan. Aku buat solat istikharah dan aku tak nampak jalan kebahagiaan dengan Mai. Akhirnya selepas solat maghrib, setelah berkali-kali aku menghubungi Mai dan tidak dijawab, aku hantar mesej kepadanya yang aku ceraikan dia.
BEKAS ISTERI CEMBURU MELIHAT KEBAHAGIAAN KAMI
Dipendekkan cerita, setelah penceraian kami selesai aku berkahwin dengan Ain. Sumpah aku bahagia dengan Ain. Anak-anak aku sayangkan Ain dan mereka sudah lupakan ibu kandung mereka. Bila aku suruh mereka menghubungi Mai untuk bertanya khabar, mereka mengelak untuk berbuat demikian.
Ain memang pandai mengambil hati anak-anak aku. Makan minum anak-anak semuanya dijaga. Anak-anak lapar pada jam 3 pagi pun dia bangun masak. Ain memang suka memasak dan aku puji dia. Anak-anak dari kurus menjadi gemuk-gemuk sebab Ain suka masak. Dulu bila dengan Mai, anak-anak selalu makan 'caci maki'.
Bila Mai tengok aku bahagia, dia mula menganggu rumah tangga kami. Dia cuba nak merobohkan rumah tangga kami. Dia menghasut anak-anak aku untuk bencikan Ain tetapi anak-anak tak layan. Aku pernah terbaca mesej Mai dalam handphone anak-anak yang dia beritahu dirinya selalu dimaki oleh Ain. Walaupun Mai lagi tua 10 tahun dari Ain, Ain lebih matang dalam melayani anak-anak. Aku rasa terlalu indah hidup dengan Ain.
Dua bulan yang lalu, aku dapat merasa kelainan dalam hubungan kami. Aku menjadi cepat panas baran dan selalu marah Ain tentang perkara-perkara yang remeh. Aku tak tahu kenapa boleh menjadi begini. Aku jadi benci nak balik ke rumah, benci tengok anak-anak aku. Aku jadi panas setiap kali duduk dalam rumah sampai aku sanggup tidur dalam kereta. Kalau aku balik pun hanya untuk sekejap sahaja untuk tengok anak-anak sudah makan ke belum. Aku banyak menghabiskan masa lepak di pejabat.
MULA MEMBENCI AIN
Satu hari itu, Ain ada tugasan di luar selama 3 hari. Lokasinya dua jam dari rumah. Aku kena uruskan anak-anak dan masa itu aku mencari point untuk bergaduh dengan Ain.
"Kalau sayangkan anak-anak, balik masak!"
Sedangkan aku tahu memang sukar untuk dia memandu selama 2 jam balik ke rumah semata-mata untuk masak. Padahal pejabat aku dengan rumah hanya 10 minit sahaja. Boleh sangat kalu aku balik dan hantar makanan pada mereka.
Ain minta aku masakan untuk anak-anak sebab dia jauh. Tetapi aku balas dengan kata-kata yang menyakitkan hati. Aku membanding bezakan dia dengan Mai. Aku tahu Ain terluka dengan kata-kata aku itu.
"Ain, kau tak layak jadi ibu kepada anak-anak aku! Hanya Mai yang terbaik untuk anak-anak aku!"
Aku tahu dia terluka. Hari itu aku balik ke rumah jam 5.30 petang dan terkejut bila mendapati sudah ada makanan di rumah.
"Siapa yang hantar makanan ini?"
"Mama Ain yang pesan pizza delivery ini untuk kitorang," jawab anakku.
MACAM ADA SESUATU YANG TIDAK KENA
Selepas itu aku tengok Ain selalu sakit, demam dan paling teruk dia muntah darah. Aku juga selalu rasa tidak sihat. Hubungan kami seperti ada sesuatu yang tidak kena. Aku menjadi semakin benci pada Ain tetapi hati masih menyayanginya. Entahlah, aku tak tahu macam mana nak terangkan. Bila jauh, aku rindukan dia. Tetapi bila dia ada di depan mata, seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena.
Ain ajak aku berubat. Katanya dia dapat melihat dalam mata aku penuh kebencian terhadapnya. Setiap hari dia ajak aku berjumpa dengan ustaz. Katanya di selalu muntah darah tetapi aku buah bodoh sahaja sebab darah yang dimuntahkan itu bukannya banyak mana pun. Dalam masa yang sama, Mai selalu datang ke pejabat dan ajak aku keluar makan. Sampai tahap dia tidur dengan aku. Aku totally mengabaikan Ain.
HALAU ISTERI DARI RUMAH
Tiga minggu lepas, aku buat keputusan bodoh dengan menghalau Ain keluar dari rumah tetapi aku tak ceraikan dia. Ini semua atas permintaan Mai untuk tumpang tinggal di rumah kami. Rumah aku yang dulu hasil perkahwinan aku dengan Mai, aku telah jual dan bahagiakan wang dengan Mai.
Rumah yang sekarang adalah rumah yang aku beli dengan Ain. Bayangkan apa perasaan dia bila aku halau dia dari rumahnya sendiri semata-mata kerana Mai. Ain memang keluar dari rumah itu. Aku tahu hati dia remuk tetapi pada masa itu aku langsung tiada rasa sedih dan yang sewaktu dengannya sebab aku ada Mai. Tetapi aku tidak nikah semula dengan Mai.
Ketika anak-anak pergi ke sekolah, aku bermesra dengan Mai seperti suami isteri. Aku turutkan semua kata-kata Mai dan berhabisan untuknya. Aku biarkan Mai hantar gambar kami sedang tidur bersama kepada Ain. Betapa teruknya Mai sakitkan hati Ain.
Anak-anak aku walaupun anak kandung Mai, tetap mereka bertanya mana Ain. Mereka betul-betul sayangkan Ain.
RAHSIA BEKAS ISTERI MULA TERBONGKAR
Satu hari itu, aku tergerak hati untuk memeriksa handphone Mai. Aku terbaca mesej Mai dengan seorang lelaki warga Indonesia. Ya Allah, aku tak sangka yang Mai telah menyihir aku. Satu persatu aku baca perbualan mereka. Salah satunya lelaki itu suruh Mai masukkan darah haidnya ke dalam makanan aku. Baru aku sedar, setiap kali makan nasi, Mai selalu tak makan nasi yang sama dia masakkan untuk aku. Bayangkan anak-anak aku makan nasi yang sama dari periuk yang dia masakkan untuk aku?
Aku baca lagi mesej mereka, lelaki itu juga mengarahkan Mai meletakkan sesuatu dalam bantal aku. Aku periksa bantal kekabu aku dan terjumpa sejenis kayu. Aku tak sangka Mai sanggup buat begini. Sekelip mata aku terus tersedar dan aku halau Mai serta merta. Aku seolah-olah baru tersedar dari mimpi.
"Ya Allah, apa yang aku dah buat pada Ain?!"
Aku cuba menghubungi Ain tetapi gagal. Aku minta nombor barunya dari keluarga Ain, aku balik kampung mencari Ain tetapi Ain tiada. Mereka minta aku berikan masa untuk Ain tenangkan fikiran. Aku tahu Ain bersedih dan aku harap sangat-sangat bulan puasa ini Ain pulang ke pangkuan aku.
Aku call banyak hotel untuk memeriksa nama Ain tetapi tiada. Aku tak tahu dia berada di hotel mana sekarang. Ain memang suka tenangkan fikiran di tempat-tempat seperti itu. Cuma sekarang aku tak tahu dia berada di hotel mana.
'AIN, BALIKLAH KE PANGKUAN ABANG....'
Ain, maafkan abang. Abang tahu Ain suka bagi page ini. Suka cerita pada abang tetnang kehidupan rumah tangga dalam page ini. Hari ini dugaan ini terjadi dalam hubungan kita. Maafkan abang banyak-banyak. Abang dah lukakan hati Ain tanpa memikirkan perasaan Ain. Bagilah abang berjumpa dengan Ain.
Abang ceritakan semuanya dalam page ini agar Ain tahu keadaan sebenar sebab abang tak ada peluang untuk bercakap dengan Ain. Abang janji abang akan jaga hubungan kita. Maaf di atas segala kekhilafan abang. - Encik Z | PIXEL MEDIA