Gambar Hiasan Sahaja | Google Images |
Saya nak kongsi cerita tentang ego suami saya. Sebelum ini, kami berkahwin ketika saya masih belajar dan sepanjang saya belajar, saya ada juga membuat kerja-kerja sambilan dan buat bisnes online jual kosmetik.
Suami tidak pernah mendesak saya untuk membantu dia, tetapi saya buat semua itu sebab mahu rasa susah senang bersama-sama. Suami bukan kerja hebat, cuma kerja atas motor, berpanas dan berhujan siang malam.
Ramai yang kata saya bodoh sebab menerima lamaran suami, sedangkan saya ini agak menjadi kegilaan ramai lelaki yang melebihi dari suami dari segi paras rupa dan pekerjaan.
Selepas belajar hampir setahun 5 bulan, akhirnya saya berjaya untuk konvokesyen. Suami sayalah yang banyak membantu saya ketika saya masih belajar. Pergi, hantar dan menjemput saya di kelas. Sediakan duit makan, fotostat, buku dan suami juga yang bayar duit yuran pengajian saya untuk beberapa semester tanpa meminta bantuan dari sesiapa pun.
Selepas konvo, saya diberikan keizinan untuk menganggur oleh suami, agar saya dapat fokus pada rumah tangga walaupun hati saya meronta-ronta untuk bekerja dan membantu suami dan keluarga di kampung.
"Saya masih mampu menanggung awak dengan duit gaji dan duit kerja sampingan yang lain," katanya.
Boleh dikatakan kehidupan kami agak mewah juga kerana suami saya sangat rajin bekerja.
6 bulan saya menganggur, akhirnya saya ditawarkan pekerjaan. Apa yang saya cuba katakan tentang ego suami apabila saya menerima gaji pertama.
"Berapa banyak duit yang perlu saya bagi pada abang untuk kita sama-sama berkongsi bayar sewa rumah dan segala jenis bil?" tanya saya padannya.
"Eh, tak perlulah. Abang tak perlukan duit awak sebab itu semua tanggungjawab abang. Gaji awak tu, awak bagilah pada mak ayah dan adik-adik awak di kampung," katanya yang menolak permintaan saya dengan baik.
Saya sangat terharu kerana suami sudi berikan keizinan untuk saya berjasa pada ibu bapa saya.
Dan kemudiannya, saya cuba untuk memberi duit upah pada suami kerana dia yang menghantar dan mengambil saya di tempat kerja. Sebelum ini kos minyak motor suami RM5-RM6 sehari. Tetapi sejak saya mula bekerja, kos minyak motor suami menjadi RM10 sehari. Lagipun saya kasihankan suami yang terpaksa menghantar dan mengambil dari tempat yang agak jauh dari tempat kerjanya.
"Tak perlu. Awak simpan saja duit itu. Dah jadi tanggungjawab abang untuk hantar dan jemput awak di tempat kerja. Dalam masa yang sama jaga keselamatan awak di luar rumah," katanya.
Ya Allah, saya sangat-sangat sebak apabila suami saya berkata begitu.
Dan egonya semakin tinggi, walaupun saya sudah bekerja, ada gaji sendiri, suami masih lagi menghulurkan duit belanja dan duit makan pada saya di tempat kerja.
Suami saya sangat ego, dia amat menjaga air muka dan maruah dia sebagai seorang suami. Dia sangat malu andainya dia tidak dapat menunaikan tanggungjawab dia sebagai suami dengan baik. Alhamdulillah, saya juga telah disahkan mengandung baru-baru ini. Suami sangat gembia dan teruja sehingga membelikan saya susu Anmum, susu kambing, kismis, jus delima agar baby sihat. Saya sungguh terharu.
Ego suami makin tinggi apabila dia langsung tidak memberi saya buat kerja dan memasak. Dia suruh saya berehat dan katanya dia mampu buat kerja rumah seorang diri tanpa bantuan saya. Kadang-kadang saya tersenyum seorang diri dengan keegoan suami.
Saya tidak mengharapkan apa-apa dari suami, saya cuma berharap Allah melindungi suami, panjangkan umur dan murahkan rezekinya kerana sampai bila-bila pun saya akan cintakan si lelaki ego setinggi KLCC. Terima kasih. - KRT | PIXEL MEDIA