10:56:00
Semasa
Pelajar Tingkatan Tiga Tinggal Di Asrama Pula Dipatuk Ular
SEREMBAN: Seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah berasrama menjadi mengsa terbaru apabila dipatuk ular pada malam Sabtu lalu, lapor Berita Harian.
Menurut sumber, pelajar berkenaan dikatakan telah dipatuk ular kira-kira jam 9 malam ketika dalam perjalanan pulang dari surau sekolah ke asrama bersama rakannya ketika melalui jalan gelap.
Beliau bagaimanapun dilaporkan selamat selepas mendapat rawatan segera di Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) di sini.
"Warden asrama segera membawanya ke HTJS dan doktor mengesahkan dia dipatuk ular. Keadaannya stabil dan dibenarkan keluar dari hospital hari ini, " katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Berdasarkan rekod, ini adalah kejadian ketiga pelajar sekolah dipatuk ular dalam tempoh dua minggu di mana kejadian pertama menyebabkan seorang murid Tahun Satu maut di Kota Bharu, Kelantan manakala selepas itu seorang Murid Tahun Dua dari Rembau pengsan dan sempat dihantar ke hospital untuk rawatan selepas dipercayai dipatuk ular. -Siakapkeli.my