KUALA LUMPUR 15 April – Lokasi asal Pulau Langkawi bukanlah seperti mana yang kita ketahui sekarang ini. Daripada pembuktian sains menunjukkan, kepulauan itu sebenarnya berasal dari Kutub Selatan, benua ais paling sejuk di dunia.
Majalah Infiniti
Sejarah geologi mengungkap, pada ratusan juta tahun dahulu, kedudukan Langkawi dan Semenanjung Malaysia bukan seperti apa terlihat di dalam peta.
Peta dunia pada masa itu juga tidak seperti sekarang ini kerana bumi suatu ketika dahulu merupakan sebuah daratan luas atau benua besar, dipanggil Pangea.
Menurut Pensyarah Geologi di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr. Kamal Roslan Mohamed, bermula dari Pangea, ia kemudian terbelah menjadi dua buah benua.
Pecahan dua buah benua itu mulai hanyut dalam arah berlawanan - Eurasia di sebelah utara dan Gondwana di sebelah selatan.
Gondwana di sebelah selatan merupakan sebuah daratan besar, meliputi Antartika, Afrika, Amerika Selatan, Australia dan India.
Pada zaman Karbon Akhir hingga Perm Awal, bumi mengalami penyejukan global hinggakan sebahagian besar benua Gondwana diliputi glasier tebal.
Dan bukti sejarah menunjukkan, pada zaman itu, Langkawi serta bahagian barat Semenanjung Malaysia turut berada di benua sejuk ini.
Manakala bahagian timur Semenanjung Malaysia pula terpisah jauh di benua Eurasia di sebelah utara. Akibat pelanggaran plat tektonik akhirnya Langkawi dan Semenanjung Malaysia berada di lokasi sekarang.
Anda terkejut? Untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut, dapatkan majalah Infiniti edisi 84 yang kini sedang hangat di pasaran.
Selain artikel di atas, menariknya, Infiniti keluaran ini turut mengupas kisah misteri bandar tenggelam di tengah tasik diberi nama Lake Reschen di Itali, Teknologi Alam Melayu Penapis Air Batu, Kebolehan Melihat Sejauh Satu Kilometer dan banyak lagi cerita-cerita menarik, yang pasti dapat menambah pengetahuan baharu anda.
- See more at: http://www.utusan.com.my