LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close
-

Lagi kes murid dipatuk ular di sekolah


REMBAU - Seorang murid perempuan tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Chembong di sini pengsan dipercayai dipatuk ular pagi tadi.

Kejadian malang itu merupakan kes kedua dalam tempoh 48 jam selepas seorang murid perempuan tahun satu Sekolah Kebangsaan Dato' Hashim (1), Pengkalan Chepa, Kelantan meninggal dunia juga dipercayai dipatuk seekor ular di betis kirinya.

Difahamkan, dalam kejadian sekitar pukul 10 pagi itu, budak perempuan terbabit tidak sedarkan diri selepas terjatuh ketika bermain di padang sekolah tersebut.

Beberapa rakan mangsa mendakwa ternampak seekor ular berdekatan lokasi mangsa rebah.

Sumber memberitahu, kanak-kanak itu segera dibawa ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk menerima rawatan lanjut.

Kata sumber itu lagi, doktor masih menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap mangsa ketika ini.

"Mangsa dikatakan berada dalam keadaan sedar dan stabil. Difahamkan, doktor mengesan kesan gigitan atau patukan pada bahagian kaki tetapi, perkara itu belum dapat dipastikan sama ada kesan patukan ular atau sebaliknya," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Pendidikan, Rusni Ab. Jalil dikatakan akan membuat sidang akhbar berhubung kes itu di SK Chembong di sini, pagi esok. - K! ONLINE



Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp