LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close
-

Kanak-kanak OKU dilarikan ditemui selamat, suspek turut diberkas



KUALA LUMPUR 20 April - Seorang kanak-kanak kurang upaya (OKU) yang hilang dipercayai dilarikan seorang wanita warga Indonesia sejak 5 pagi semalam akhirnya ditemui selamat, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, Putri Nurkyra Izam Abdullah, 11, ditemui bersama suspek oleh kariah Masjid Al-Rahman, Jalan Pantai Baharu, di sini kira-kira pukul 9.30 malam tadi.

Jelasnya, kariah masjid mencurigai kehadiran suspek dan mangsa yang berlegar-legar di kawasan masjid itu sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.
"Ketika ditemui, mangsa dalam keadaan tenang dan kita juga telah menahan suspek yang berusia 18 tahun untuk siasatan lanjut.

"Hasil pemeriksaan, kita dapati suspek datang ke negara ini dengan dokumen yang sah menerusi ejen. Dia mengambil keputusan membawa mangsa tidur di masjid tersebut berikutan niatnya untuk menyewa hotel tidak berjaya kerana tidak membawa sebarang dokumen," katanya ketika ditemui di perkarangan Balai Polis SS15, Subang Jaya di sini, malam tadi.

Menurut Mohammad Azlin, siasatan awal mendapati mangsa dengan rela hati mengikut suspek keluar dari kediamannya.
"Kita juga menjumpai surat dengan tulisan tangan mangsa yang mengatakan dia mengikut suspek dengan rela hati dan tidak mahu ibu bapanya risau mengenai tindakannya.
"Siasatan masih dijalankan... Buat masa sekarang, kita perlu memberikan masa kepada kanak-kanak itu untuk bertenang," kata Mohammad Azlin yang kemudiannya menambah, mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan laporan kesihatan.
Kehilangan Putri Nurkyra disedari anak sulung pasangan Badrol Izam Baharom dan Raja Mazwin Raja Mokhtar, kira-kira jam 5 pagi semalam.

Suspek yang hanya dikenali sebagai Azizah dari Sumatera, Indonesia, disyaki melarikan kanak-kanak istimewa itu selepas polis menemui sekeping nota yang ditinggalkan di rumah mangsa.

Dalam nota terbabit, suspek mendakwa Putri Nurkyra mengikutnya dengan rela hati. - UTUSAN ONLINE