LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close
-

Hospital jadi rumah kedua

Damia lebih banyak berbaring dan perlu duduk pada permukaan lembut kerana tiada tulang punggung.


RAUNGAN nyaring itu memecah hingar di wad kanak-kanak tingkat lapan Hospital Selayang, Selangor itu. Bagi penghuni lama dan petugas hakiki, situasi seperti itu sudah menjadi satu kelaziman pada waktu tengah hari hari Isnin, Rabu dan Jumaat.

Tumpah simpati yang tidak sedikit saat melihat jarum menusuk rakus ke dalam lapisan kulit pada bahagian dada kiri si kecil itu.

Dua salur wayar berwarna merah dan biru halus jelas kelihatan menunjukkan aliran darah keluar dan masuk yang menghubungkan tubuh si kecil dengan mesin khas untuk mencuci darah.

Pada usia enam tahun, Wan Damia Afzan Wan Mahmud atau lebih mesra dengan sapaan Damia merupakan pengunjung tetap wad 8B hospital tersebut. Dia ditemani sama ada ibu, bapa atau kedua-duanya setiap dua hari sekali bagi mendapatkan rawatan mencuci buah pinggang di dalam sebuah bilik khas di wad itu.

“Dia memang akan menangis setiap kali dicucuk jarum. Namun, tangisan itu akan reda selepas tekanan darah Damia berada pada paras normal. Dia sudah dapat membiasakan diri dengan perkakasan yang dipasang pada badannya,” ujar bapa Damia, Wan Mahmud Baba, 49.

Cuci buah pinggang

Menurut Wan Mahmud, Damia mula melakukan rawatan mencuci buah pinggang sejak tiga tahun lalu. Hakikatnya, buah pinggang puteri bongsunya itu telah dikesan bermasalah ketika umurnya satu tahun setengah.

Pada waktu itu, doktor mengesahkan pundi kencing Damia sudah rosak sehingga menyebabkan buah pinggang kirinya mengecut dan gagal berfungsi.

Memiliki saiz badan kecil yang tidak sepadan usia, badan atas Damia kelihatan sama seperti kanak-kanak berusia enam tahun yang lain. Malah, beratnya juga antara 9.6 hingga 9.8 kilogram sahaja.

Bagaimanapun, kedua-dua kakinya sangat kecil manakala kepalanya pula kelihatan sedikit membengkak. Keadaan kepala dan kaki Damia tidak seperti kanak-kanak seusianya kerana dia dilahirkan tanpa tulang punggung. Damia didiagnosis menghidap penyakit spina bifida.

Penyakit yang dikategorikan sebagai kes terpencil itu menyebabkan tulang belakang tidak terbentuk dengan baik pada bahagian saraf tunjang bayi. Akibatnya, berlaku komplikasi pada tulang belakang dan membran di sekitar saraf tunjang sehingga menjejaskan tumbesaran bayi tersebut.

Difahamkan, terdapat lebihan air pada bahagian kepala Damia menyebabkan dia pernah menjalani pembedahan khas bagi mengurangkan tekanan dalam kepala dan menampal kebocoran tulang belakang ketika berusia tujuh hari.

Mengesot

Oleh kerana tiada tulang punggung, Damia hanya duduk di atas tulang belakangnya sahaja.

Justeru, dia tidak dapat duduk pada permukaan keras terlalu lama kerana ia akan mengundang kesakitan pada tubuhnya.

Bapa kepada empat orang anak yang berumur antara enam hingga 16 tahun itu memberitahu, anak bongsunya juga tidak dapat berjalan seperti kanak-kanak lain. Jika di rumah, Damia hanya mengesot untuk bergerak dan menggunakan kekuatan tangan sepenuhnya.

“Biarpun dilahirkan kurang sempurna, Damia sangat kuat dan keletah. Dia jarang mempamerkan kesakitan dan sentiasa ceria supaya orang tidak risaukan keadaannya.

“Saya juga bersyukur kerana kakak dan abang-abangnya sangat memahami kekurangan adik mereka dan memberi sokongan yang tidak berbelah bahagi supaya Damia tidak bersedih,” tutur Wan Mahmud.

Setelah difahamkan doktor akan keadaan Damia, Wan Mahmud dan isterinys, Mimi Yuhani Adam, 44, nekad berhenti kerja dan memilih bidang pekerjaan yang lebih fleksibel iaitu sebagai ejen insurans.

Mengakui Damia tiada pantang khusus dalam pemakanan, Wan Mahmud perlu mengawal pemakanan puterinya.

Ilmu




Umi Kalsom menjaga Fatin Nadia yang mengalami komplikasi dalaman sehingga menjejaskan fungsi buah pinggang serta upaya untuk berjalan.

Damia disarankan supaya tidak mengambil makanan yang tinggi kandungan potasium seperti kentang dan pisang serta fosforus iaitu makanan berasaskan produk tenusu.

Buah pinggang yang bermasalah tidak dapat menapis sisa vitamin dengan baik sekali gus akan memudaratkan badan pesakit.

Menyifatkan kesulitan yang dihadapi kini sebagai ujian sementara, Wan Mahmud tidak mengabaikan kepentingan ilmu terhadap masa depan anak-anaknya. Walaupun ada suara sumbang yang sering menempelak dirinya untuk lebih menekankan kesihatan Damia dan bukannya membebankan anak ke sekolah seperti kanak-kanak normal lain.

Dalam tenang, Wan Mahmud menegaskan bahawa tiada siapa yang dapat menidakkan kepentingan ilmu kerana hanya dengan ilmu, Damia dapat membesar setanding kanak-kanak lain yang sempurna dari segi fizikal.

Malah, ilmu juga akan menjadi bekal kepada Damia untuk menghadapi hari mendatang sekiranya ditakdirkan sesuatu berlaku kepada dirinya dan isteri.

Berkongsi keperitan yang sama, Fatin Nadia Mohd. Noor, 19, juga antara insan tabah yang meneruskan kelangsungan hidup bergantung kepada mesin dialisis.

Biarpun dilahirkan dengan sindrom alergi dan kerosakan hati, kandungan kolesterol yang tinggi serta gangguan fungsi jantung, Fatin Nadia masih mampu meneruskan kehidupan sama seperti remaja lain selama 18 tahun. Malah, dia juga berjaya menduduki Sijil Pelajaran Malaysia dua tahun lalu.

“Walaupun sakit, Fatin sama seperti remaja lain sebelum ini. Namun, sejak beberapa minggu lalu, alerginya telah menyebabkan bisul pada bahagian punggung sehingga menyerang kakinya. Dia tidak dapat berjalan sejak itu.

“Biarpun begitu, dia jarang mempamerkan kesakitannya dan sentiasa ceria. Jika dia tabah, saya juga perlu lebih kuat supaya dapat terus menyokongnya,” kata ibu saudaranya merangkap ibu angkat, Umi Kalsom Mashar, 51.

Walaupun mempunyai alternatif untuk melakukan pembedahan transplan buah pinggang, doktor tidak menyarankannya kerana ia terlalu berisiko. Justeru, Fatin Nadia hanya menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu untuk mengekalkan tahap kesihatannya kini. Baru-baru ini, rawatan Fatin Nadia telah dipindahkan ke Hospital Muar, Johor kerana lebih dekat dengan rumahnya di kawasan yang sama.

Kasih sayang

Sementara itu, Ketua Jururawat Wad 8B, Siti Aishah Abdul Razak, 53, menjelaskan, dia bersama lima jururawat lain perlu bijak memainkan mengawal kanak-kanak di situ.

“Kesakitan yang mereka hadapi berbeza-beza. Fitrah kanak-kanak, mereka mudah berasa terancam dan rasa tidak selesa dalam persekitaran baharu.

“Justeru, sebagai jururawat, kami perlu mengambil pendekatan berkawan dengan mereka terlebih dahulu supaya mudah untuk mengurus dan merawat keperluan pesakit pediatrik sepanjang berada di dalam wad,” ujarnya.

Tambah Siti Aishah, rawatan terbaik untuk kanak-kanak adalah melalui kasih sayang dan kesabaran.

“Kanak-kanak perlu dipujuk dan dimanja supaya mereka tidak berasa keseorangan melawan kesakitan,” jelasnya.

Wad 8B Hospital Selayang memuatkan 28 katil kanak-kanak yang menjadi persinggahan pelbagai kes pediatrik. Bilik khas untuk mencuci buah pinggang dalam wad pediatrik tersebut pula memuatkan dua buah mesin dialisis yang disumbangkan oleh sebuah badan korporat pada tahun 2012.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo


Umi Kalsom menjaga Fatin Nadia yang mengalami komplikasi dalaman sehingga menjejaskan fungsi buah pinggang serta upaya untuk berjalan.