LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close
-

Fasha kini bahagia solo




TANGGAL 21 Januari tahun ini merupakan tarikh keramat yang kekal terpahat dalam ingatan aktres popular, Fasha Sandha. Masakan tidak, selepas melayari bahtera rumah tangga selama empat tahun bersama suami, Rizal Ashram Ramli atau Jejai, 40, beliau akhirnya diceraikan dengan talak satu.

Berita tersebut benar-benar mengejutkan bukan sahaja tuan empunya badan, tetapi seluruh industri hiburan yang menjadi saksi matinya kisah cinta bersama lelaki yang merupakan bapa kepada dua orang anaknya, Putra Rayfal Ramli, 3, dan Putri Raysha Jemyma, 2.

Selepas dua bulan bercerai pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan, 32, memencilkan diri daripada tumpuan media, beliau kini perlahan-lahan mula terbuka hati untuk berkongsi sedikit tentang peristiwa paling sedih dalam hidupnya itu. Beliau yang ditemui pada majlis pelancaran minyak wangi Fasha Sandha by D’Haja di Pusat Dagangan Dunia Putra, baru-baru ini nyata masih berhati-hati dalam mengeluarkan butir bicara tentang isu rumah tangga yang dianggap cukup sensitif.

KOSMO!: Selepas sah bercerai, kalian berdua kelihatan cukup sedih. Boleh kongsikan perasaan Fasha apabila melihat bekas suami menangis di mahkamah sewaktu perceraian pada 21 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur ?

FASHA SANDHA: Saya sebak dengan keadaan dan juga melihatkan Jejai teresak-esak. Hampir 11 tahun mengenali dia, itulah kali pertama bekas suami menitiskan air mata di hadapan saya. Saya memahami betapa berat untuk dia menjatuhkan talak ke atas isterinya.

Apakah punca utama perceraian kalian?

Apa yang boleh saya simpulkan adalah keadaan sekeliling memaksa kami untuk membawa haluan masing-masing. Sebab musababnya bukan datang daripada saya mahupun bekas suami. Berpisah lebih baik untuk masa sekarang, malah hati saya lebih tenang.

Baru-baru ini, Jejai ada memuat naik status di Instagram dengan ucapan selamat hari lahir kepada anda. Adakah itu satu petanda, hubungan kalian semakin pulih?

Saya tidak menyangka dia akan meletak status itu di laman Instagram. Apabila saya memuat naik semula status berkenaan di Instagram saya, ia mendapat ‘like’ paling banyak. Sejujur-jujurnya, itu bukanlah bermakna kami sudah berbaik, tetapi ia sekadar satu ucapan penghargaan untuk saya sempena sambutan ulang tahun.

Selepas hidup solo, adakah anda pernah terfikir untuk rujuk semula?

Buat masa terdekat rasanya tidak, kerana saya bahagia dengan kehidupan sekarang. Jika takdir menentukan jodoh kami panjang pada masa hadapan, itu biarlah Allah yang tentukan.

Mungkinkah anda masih menyimpan perasaan sayang pada bekas suami?

Soalan tersebut terlalu peribadi untuk dijawab, biarlah saya simpan sendiri kerana enggan disalah erti oleh orang lain.



Adakah kegagalan rumah tangga menjadikan anda serik untuk berkahwin lagi?

Tidak, saya tidak serik cuma belajar betapa penting restu ibu bapa dalam sebuah ikatan bernama pernikahan. Dulu saya fikir, dengan adanya cinta kami berdua mampu meredah apa sahaja halangan yang datang. Namun, selepas mendirikan rumah tangga, barulah saya sedar apabila tiada restu dan berkat ibu bapa, dugaan yang timbul menjadi berat lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan soal keluarga.

Adakah anda masih berhubung dengan bekas keluarga mertua?

Tidak dan saya mempunyai sebab sendiri.

Adakah Jejai masih menghubungi anda dan menyatakan hasrat untuk kembali bersama?

Dia ada berhubung dengan saya, namun atas sebab anak-anak sahaja. Tentang hasrat kembali bersama, ia terlalu peribadi untuk dikongsikan, saya mohon maaf.

Bagaimana pula dengan hak penjagaan anak-anak?

Saya mendapat hak penjagaan penuh untuk Rayfal dan Jemyma. Jejai masih boleh melawat mereka mengikut kelapangan waktu saya. Walau apa yang berlaku, tetap bersyukur kerana anak-anak amat rapat dengan saya. Mereka tidak terkesan dengan perpisahan yang berlaku kerana terlalu kecil untuk memahami situasi ibu bapanya.

Perkembangan kerjaya anda selepas bercerai?

Alhamdulillah, rezeki melimpah ruah sehingga ada tawaran yang terpaksa saya tolak. Inilah hikmah yang Allah berikan sebalik kedukaan saya sebelum ini. Selain rezeki menjadi duta wangian Fasha Sandha by D’Haja, saya akan ke set penggambaran drama 120 episod untuk terbitan Astro.

Di manakah minyak wangi Fasha Sandha by D’Haja dijual dan mengapa anda memilih produk minyak wangi?

Wangian boleh didapati di stokis yang telah dilantik di seluruh negara termasuk Brunei, Singapura, Emiriyah Arab Bersatu dan dijual pada harga RM37 sebotol. Saya tidak mungkin akan mengeluarkan minyak wangi sendiri. Namun, bersetuju menjadi duta produk wangian ini selama setahun kerana pengasas D’Haja, Haniza Ahmad mampu melahirkan haruman yang saya gemari.



Sumber : Kosmo