#1 – Di awal kerjaya dahulu, saya mengalami sedikit masalah pengurusan perbelanjaan bulanan. Pelbagai cara telah diusahakan tetapi masih gagal untuk saya turuti. Kekangan dari segi pemantauan menjadi punca, sehinggalah saya terbaca akan kaedah penggunaan sampul berwarna oleh seorang ‘financial guru’ pertengahan tahun 2002. Ternyata ianya merubah corak pengurusan perbelanjaan saya
#2 – Namun, saya tidak menggunakan sampul sepertimana yang dicadangkannya sebaliknya, sampul tersebut di gantikan dengan akaun-akaun simpanan di bank.
#3 – Pada ketika saya memulakan kaedah ini, gaji bersihku sudah mula mencecah RM3,000 sebulan dan 50% dari amaun tersebut biasanya akan saya ketepikan untuk pembayaran pinjaman kenderaan, rumah kediaman, kad kredit, premium takaful dan bayaran utiliti. Untuk rekod, simpanan pelaburan dan sumbangan kasih sayang kepada ibu bapa, saya ambil dari lebihan sewa dari unit-unit sewaku tanpa mengusik duit gajiku.
#4 – Dengan jumlah sebanyak RM1,500 itu (50% dari gaji), kemudiannya saya pindahkan ke 4 akaun bank yang berbeza dengan jumlah simpanan yang sama yakni, RM375 bagi setiap akaun.
#5 – Kenapa 4 akaun bank yang diperlukan?
#6 – Kerana ianya mewakili 4 minggu dalam sebulan dan setiap minggu, hanya maksimum RM375 @ RM53.57 sehari sahaja yang boleh saya gunakan untuk perbelanjaan harian (termasuk makan minum dan pengangkutan).
#7 – Hasilnya, saya mula berdikit. Malah, saya cuba mengurangkan perbelanjaan agar masih terdapat baki pada akaun bank untuk minggu itu. Rasionalnya, agar ada lebihan baki ke minggu yang sama pada bulan hadapan.
#8 – Begitu juga dengan akaun-akaun bank yang mewakili minggu-minggu berikutnya. Alhamdulillah, amalan ini masih lagi saya praktikkan dan ternyata ianya sesuai untuk memantau aliran tunai (cashflow) bulananku dan tidak salah untuk anda mencuba.
Sumber :MajalahNiaga