LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close
-

YATIM PIATU SEKELIP MATA

Yatim piatu sekelip mata

Oleh Ahmad Othman 
am@hmetro.com.my

Kota Tinggi: Dua beradik yang masih kecil menjadi yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibu dan bapa mereka maut apabila Perodua Viva dinaiki dirempuh dan diseret lori sejauh 70 meter dalam kemalangan di simpang tiga lampu isyarat laluan Persimpangan Keris, Kilometer 35.5 Jalan Johor Bahru-Mersing, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 9 pagi, Jamal Ismail, 44, dan isteri, Nor Azlizah Mohd Sofian Lew, 31, maut di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan serta tersepit di dalam kenderaan yang remuk teruk itu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Rahmat Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan tar dalam perjalanan dari arah Johor Bahru menuju Mersing melanggar kereta mangsa.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, lori berkenaan melanggar kereta mangsa yang dipandu Nor Azlizah di bahagian kanan sebelum menyeret kenderaan terbabit kira-kira 70 meter lalu terbabas ke dalam parit di tepi jalan.
“Mangsa bersama suami dalam perjalanan ke Taman Saujana di sini dan akibat kemalangan berkenaan, pasangan suami isteri itu maut di lokasi kejadian,” katanya.
Rahmat berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT), di sini, untuk dibedah siasat, manakala pemandu lori berusia 25 tahun itu hanya cedera ringan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Tinggi, Ahmad Amat berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada 9.11 pagi.
“Kami bergegas ke lokasi bersama sebuah jentera, sebuah kenderaan Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan sebuah kenderaan utiliti dengan kekuatan 11 anggota,” katanya.
Katanya, pihaknya mengambil masa kira-kira 40 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit dan seterusnya menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Mohd Sofian Lew Abdullah, 74, berkata, anaknya Nor Azlizah bersama suami dalam perjalanan ke tempat kerja di Taman Saujana di sini ketika kejadian.
“Setiap hari kecuali pada Sabtu dan Ahad, mereka menghantar dua anak perempuannya, Aina Sofia berusia lima tahun dan Amnah Sofia, 16 bulan di rumah saya, sebelum ke tempat kerja.
“Hari ini (semalam) Amnah Sofia menghulur tangan sampai menangis untuk bersalaman dengan ibu bapanya dan mereka turut melambai ke arah anak mereka.
“Dia seperti mengetahui \ saat itu terakhir dia bertemu dengan ibu dan bapanya,” katanya ketika ditemui di bilik mayat HKT di sini, semalam.
Sumber : HarianMetro