10:33:00
Semasa
Reda hilang kaki
Sabak Bernam: “Saya reda (dengan kehilangan kaki ini) namun berharap dapat meneruskan kehidupan seperti biasa selepas ini,” kata Siti Nuraisyah Sahrin, 13, atau Ecah yang putus kedua-dua kaki akibat digilis lori dalam kejadian 18 Januari lalu.
Ecah berkata, sejak pulang ke rumah kira-kira dua minggu lalu, dia gembira berikutan orang sekeliling terutama adik-beradik, ibu bapa, saudara-mara, rakan serta pelbagai pihak tidak henti memberikan semangat kepadanya.
Katanya, walaupun dia tidak seperti dulu lagi, namun itu bukan alasan untuk dia terus bersedih.
“Saya kini semakin bersemangat, malah Isnin ini saya akan ke sekolah dan berharap semuanya berjalan baik.
“Baju, beg dan buku semuanya sudah sedia,” katanya ditemui di rumahnya di Parit 16, Sungai Panjang dekat sini semalam.
Dalam kejadian jam 3.30 petang di lokasi yang tidak jauh dari rumahnya itu, Ecah putus kedua-dua kaki dari bawah paras lutut selepas digilis lori.
Sebelum kejadian, Ecah membonceng motosikal Honda EX5 ditunggang kakak tirinya, Syahmin Amira Roslan, 14, dan mereka dalam perjalanan pulang ke rumah dari sekolah.
Kejadian itu menjadi viral selepas gambar Ecah tidak menangis walaupun kedua-dua kakinya putus selepas kejadian itu.
Ecah berkata, sepanjang di kampung, bapa tirinya, Roslan Sardi, 40, dan ibu Maimunah Md Razalli, 48, membawanya bersiar-siar selain menjalani pemeriksaan rutin di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) setiap Isnin dan Khamis.
Katanya, dia turut melalui lokasi kemalangan yang meragut kakinya itu, namun perasaan traumanya semakin hilang.
“Perasaan takut semakin kurang, namun fobia menaiki motosikal masih ada,” katanya yang semakin dapat menerima ketentuan Ilahi itu.
Selain itu katanya, dia turut dibawa ke sekolahnya iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Terap untuk melihat kemudahan yang disediakan.
Menurut Ecah, dia tidak sabar mahu menemui rakan dan guru sekolah beberapa hari lagi.
Difahamkan satu majlis sambutan untuk Ecah akan diadakan di sekolah berkenaan Isnin ini.
Sementara itu, berkata, Ecah sudah boleh menyesuaikan diri dengan keadaan rumah, namun menghadapi sedikit kesukaran ke tandas.
“Ketika ini tandas khas untuk Ecah belum siap jadi Ecah menggunakan tandas biasa dan dia perlu dibantu ketika hendak ke tandas,” katanya.
Sumber : Harian Metro