Bercerita perihal ini kata Awal Ashaari, dia dan isteri, Scha Alyahya kini dalam perbincangan untuk mewujudkan sebuah program khas untuk berkongsi pengalaman mereka membesarkan anak, Lara Alana, yang kini berusia satu tahun tujuh bulan.
“Kami mendapat tawaran untuk membuat sebuah program berkonsep ke-ibubapaan. Bagaimanapun masih tidak tahu sama ada berbentuk realiti atau tidak memandangkan masih dalam proses perbincangan.
“Bukan mahu melabel kami sebagai ibu bapa yang terbaik, namun diberi peluang untuk berkongsi cara kami membesarkan Lara Alana, tentunya ini adalah satu kegembiraan. Kami sangat teruja kerana dapat berkongsi dan menyumbang kepada mereka yang sentiasa mahu tahu bagaimana kehidupan kami sekeluarga,” katanya.
Mendapat pelbagai pertanyaan daripada peminat mengenai cara mereka membesarkan Lara, kata Awal, ini antara sebab kenapa dia merasakan sebuah program yang memberi tumpuan cara mereka membesarkan Lara sebagai sesuatu peluang yang tepat.
“Melalui e-mel kami berdua sering ditanya soalan-soalan berkaitan anak, contohnya bagaimana kami sekeluarga bercuti ke luar negara dan apa makanan yang diberi kepada anak.
“Jadi saya tidak melihat ada salahnya jika kami berkongsi perkara yang kami lalui untuk ibu bapa,” katanya.
Menariknya, Lara juga mendapat perhatian yang sama seperti mereka daripada peminat dan dari suatu sudut Awal melihat perkara ini sebagai sesuatu yang positif.
Malah jelasnya, antara kelebihan yang dia lihat terbentuk ke atas anaknya kini adalah kemampuan untuk bersosial.
“Memang ikutkan perhatian banyak diberikan kepada Lara kini, dan kami bangga sebab Lara tanda cinta kami berdua. Jadi, saya tidak kisah untuk terus berkongsi perkembangan Lara juga.
“Sebabnya kalau dilihat dari suatu sudut, Lara berjaya membentuk satu sifat yang berani dan tidak takut untuk bertemu dengan orang, yang pada saya suatu kelebihan untuk dia pada masa hadapan,” katanya.
Berkongsi pengalaman menjadi antara pasangan selebriti terawal yang mewujudkan laman sosial buat anak, kata Awal, pada mulanya dia tidak ada niat untuk mencari populariti buat Lara.
Namun melihat kemampuan laman sosial Lara kini mengumpul 1.5 juta pengikut, dia pasti adalah rutin buat dirinya untuk sentiasa mengemaskini laman sosial anaknya itu.
“Pada awalnya kewujudan laman sosial itu lebih kepada jurnal buat perkembangan anak saya. Saya tidak sangka begitu ramai yang mahu mengikuti Lara.
“Tiada niat untuk mencari populariti, bagai saya melalui landasan ini kami sedikit sebanyak boleh berkongsi bagaimana untuk membesarkan Lara,” katanya.
Jelas Awal, dia tidak rasa memilih untuk berhenti berkongsi perkembangan anaknya di laman sosial akan memberi kebaikan buat mereka.
“Saya melihat dari sudut apa pun jika orang mahu menghentam mereka akan hentam. Jadi saya tidak kisah untuk terus kongsi perkembangan anak saya. Sebab bagi saya ada yang betul-betul menghargainya.
“Memandangkan kami adalah selebriti, dan kisah kami sudah dikongsi sejak bercinta dan berkahwin. Apa salahnya kali ini saya kongsi kisah Lara pula? Saya percaya sebab ramai yang sayangkan anak kami ini,” katanya.