TITIK fokus pelakon dan pengacara, Scha Al-Yahya lantas berubah sejak mengambil keputusan untuk bergelar isteri kepada  Awal Ashaari pada 2012.
Bahkan, pastinya, kehadiran anak kesayangan mereka, Lara Alana membawa 1,001 perubahan dalam diari hidup pelakon drama bersiri Awan Dania ini.
Lebih bermakna, kedatangan Ramadan tahun ini, membawa sisi berbeza kepada pemilik nama sebenar, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir itu ditambah pula dengan keletah Lara yang sudah menginjak usia hampir setahun.
Jika tahun lalu, bintang filem Papadom ini sarat mengandungkan Lara tetapi kini permata hatinya itu sudah boleh turut serta mewarnai aktiviti Ramadan mereka sekeluarga.
"Keseluruhannya, puasa saya dan suami sama saja. Bezanya, tahun ini, kami sudah ada Lara.
"Sejujurnya, kehadiran Lara banyak membantu mengisi masa terluang saya apabila berada di rumah.
"Kadang-kadang, Lara akan turut sama bangun untuk bersahur dan apabila waktu berbuka, dia juga akan menyertainya. Malah, saya juga akan menyuapnya sekali,” katanya kepada Zass ketika ditemui pada majlis pelancaran filem Transformers: Age Of Extinction versi bahasa Melayu anjuran HBO Asia, baru-baru ini.
Lebih teruja, ibu berusia 32 tahun itu sangat bersyukur apabila Lara bukanlah seorang yang cerewet dalam bab-bab pemakanan.
"Apa saja yang disuapkan, pasti saja dimakannya. Kadang-kadang risau juga.
"Tapi, Alhamdulillah, setakat ini tak ada pula Lara mempunyai alahan dengan  makanan tersebut," katanya sambil tergelak.


'Balas dendam' pada Syawal
Dalam pada itu, bintang drama bersiri Jodoh itu sempat melahirkan perasaan terujanya untuk menyambut Syawal yang bakal tiba dalam tempoh seminggu lagi.
Selain kehadiran anak dan suami di sisi, kata Scha, inilah masanya untuk melunaskan ‘dendam’ kerana terpaksa berpantang pada tahun lalu.
"Agak mencabar apabila terpaksa berpantang dalam bulan Syawal. Semua juadah boleh tengok saja. Tak boleh makan.
"Jadi, seronok rasanya apabila boleh menikmati juadah di hari raya. Apa lagi, saya ini jenis penggemar makan.
"Tahun ini memang hidangan wajib seperti ketupat, rendang, sate dan kuih-muih raya akan saya makan sebagai misi ‘balas dendam’,” ujarnya sambil tergelak kecil.
Meskipun begitu, susuk tubuh bekas pengacara Muzik-Muzik itu masih lagi ramping dan cantik, tidak ubah seperti zaman remajanya sewaktu memenangi pertandingan Dewi Remaja pada 2006.
"Sejujurnya, saya tak mengamalkan apa-apa diet khusus. Semua jenis makanan, saya makan.
"Mungkin, saya kekal kurus kerana genetik yang memang berbadan kurus,” katanya.
Bagaimanapun, teraju utama filem Histeria ini mengakui suka bersenam kerana aktiviti itu sangat menyihatkan dan membantunya menenangkan fikiran.
Tambahan pula, kehadiran Lara turut menyumbang kepada kelangsingannya yang mana dia selalu sibuk menjaga si kecil yang semakin aktif.
"Saya jenis amalkan makan semua tapi dalam kuantiti sedikit, jadi semua makanan saya boleh rasa.
"Lara pula sekarang sedang lasak dan aktif, jadi kalau tidak bersenam pun tenaga saya memang banyak dihabiskan melayan dia,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Scha bakal menjayakan watak saintis muda, Darcy Terell dan ini merupakan kali pertama terlibat dalam projek alih suara menerusi filem pecah panggung, Transformers: Age Of Extinction versi bahasa Melayu.
"Ini adalah pengalaman pertama saya. Alhamdulillah, saya seronok melakukannya.
"Tambahan pula, sebelum ini, ramai yang teragak-agak menawarkan watak bersesuaian kerana suara ‘husky’ saya,” katanya.
Bahkan, Scha juga hanya akan mula aktif berlakon semula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Smber :Sinar Online