17:27:00
Berita
Jabatan Penjara Dedah Punca Surat Penghuni Sekolah Henry Gurney Tidak Sampai
Punca beberapa keping surat yang dihantar oleh seorang penghuni sekolah Henry Gurney kepadanya menjadi viral di media sosial baru-baru ini adalah kerana ibu penghuni berkenaan gagal mengemaskini alamat baru mereka, lapormStar Online.
Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Jabatan Penjara, Supri Hashim dalam satu kenyataan berkata, surat berkenaan telah diterima oleh pihak lain setelah keluarga penghuni berpindah alamat.
"Berdasarkan semakan mendapati surat tersebut dihantar oleh penghuni kepada ibunya pada Ogos 2015 menerusi prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Penjara untuk Sekolah Henry Gurney," katanya.
Bagaimanapun kata Supri, penerima di alamat lama sewajarnya menghubungi Jabatan Penjara bagi memaklumkan mengenai surat berkenaan.
“Berasaskan keperluan usaha menghubungi keluarga, sewajarnya penama (penerima di alamat lama) menghantar kembali surat berkenaan ke Jabatan Penjara atau menghubungi Jabatan untuk memaklumkan mengenai surat berkenaan.
“Penghebahan menerusi media sosial berkemungkinan boleh menyebabkan wujud pelbagai tanggapan terhadap keluarga dan penghuni,” katanya.
Sebelum ini, tersebar dilaman sosial mengenai surat yang dikirimkan seorang penghuni Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka yang tidak sampai kepada ibunya dan tersebar di laman sosial.
Seorang pengguna Facebook memuat naik beberapa gambar yang memaparkan surat berkenaan dengan keterangan: “Kepada sesiapa yang mengenali emak budak ini tolonglah, kesian budak ini rindu sangat kepada maknya, posmen dah berapa kali hantar surat budak ini ke alamat rumah saya, saya sudah tidak tahu hendak buat apa, tolonglah share.”
Antara kandungan surat itu: “Mak, kenapa adik hari-hari hantar surat, mak tak pernah balas pun? Mak ada masalah ke? Kalau mak ada masalah, ceritalah pada adik di sini.
BACA: "Mak Kenapa Adik Hantar Surat Mak Tak Balas Pun", Luahan Hati Adik Dalam Surat 'Misteri'
Berdasarkan rekodm pada 20 Oktober 2015, ibu penghuni itu telah hadir menemui anaknya di Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka.
Menurut beliau, penghuni berkenaan juga dibenarkan menghubungi ibunya melalui telefon.
“Rekod menunjukkan kali terakhir penghuni menghubungi ibunya ialah pada Januari 2016,”jelas Supri.
Pihak penjara dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada pengguna media sosial di samping beharap surat berkenaan dapat dikembalikan kepada pengirim di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka.
“Jabatan Penjara juga mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua media serta orang ramai yang telah menghubungi Sekolah Henry Gurney serta Ibu Pejabat Jabatan Penjara dengan tujuan membantu mencari keluarga penghuni berkenaan,” ujar Supri.
Menurut Supri, dalam melaksanakan program pemulihan dan pembangunan semula diri penghuni di institusi penahanan dan pemulihan termasuk Sekolah Henry Gurney, perhubungan antara penghuni serta keluarga mereka merupakan aspek penting dan diberi keutamaan.
"Oleh itu, Jabatan Penjara menggunakan pelbagai medium untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan antaranya melalui perjumpaan, panggilan telefon, program-program khas penghuni bersama keluarga termasuk surat-menyurat,” katanya.
Sumber -Siakapkeli.my