Itulah kehebatan dimiliki Hazama Ahmad Azmi, 32, pelantun lagu Malaikat yang sehingga kini masih hangat diputarkan di corong-corong radio tempatan.
Hazama yang ditemui penulis pada sesi latihan konsert 5 Divo baru-baru ini berkongsi banyak kisah menarik termasuk hubungannya dengan seorang pemuzik, Genervie Kam.
Hazama memberitahu hubungan mereka berdua seperti biasa dan masih menunggu masa sesuai untuk berbicara lebih serius tentang perkahwinan.
“Saya memang menyimpan niat ke arah itu (perkahwinan) namun perlu lebih masa dan tidak mahu terburu-buru. Biar ia diputuskan secara semasak-masaknya.
“Walaupun dia berlainan bangsa dan agama, namun tidak pernah timbul masalah antara kami. Ahli keluarga kami juga menerima perhubungan kami dengan baik,” jelasnya.
Mengenai pembabitannya sebagai mentor dalam program Mentor Millenia yang baru sahaja menutup tirainya pada 6 Mac lalu, Hazama berkata, pemilihan beliau sebagai mentor dalam program tersebut membuktikan penggemar muzik tempatan sudah yakin dengan kebolehannya dan bakat yang ada pada dirinya.
“Penonton sudah mula sedar kesungguhan saya untuk membawakan sesuatu dalam industri muzik tempatan. Pada masa sama, sehingga tahap ini, sudah tiba masa untuk saya membimbing pelapis-pelapis baharu untuk survival mereka dalam industri,” katanya.
Mengulas lanjut tentang perkara sama, Hazama mengakui dia amat bersyukur kerana terpilih sebagai mentor dalam program tersebut.
Katanya, adalah menjadi tanggungjawab baginya, mencari penyambung legasi penyanyi lelaki untuk kelangsungan industri tempatan.
Berbicara tentang album terbaharu, Hazama memberitahu masih terlalu awal untuk berbicara tentang perkara itu. Katanya, kesibukan dan jadual yang agak ketat, keinginan untuk melahirkan album terbaharu terpaksa ditunda buat sementara waktu.
“Namun para pendengar boleh mengikuti teaser single terbaharu yang bakal dimuatkan dalam album tersebut berjudul Di Amaran Mama. Teaser tersebut boleh diperdengarkan di YouTube dan laman media sosial rasmi milik saya,” ujarnya.