Doktor 'puaka'
Nevers (Perancis): Seorang lelaki Belanda yang digelar media di sini sebagai ‘doktor gigi puaka’ dibicarakan semalam selepas didakwa menyebabkan kecederaan teruk pada mulut lebih 100 pesakit di Perancis.
Jacobus van Nierop, 51, mencabut gigi yang sihat dan menyebabkan puluhan pesakit di kampung pedalaman Perancis pecah tulang rahang serta mengalami pelbagai masalah kesihatan lain.
Van Nierop berhadapan tuduhan melakukan serangan menyebabkan kecederaan disamping didakwa melakukan tuntutan palsu terhadap pesakit dan syarikat insurans.
Dia berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda 150,000 euro (RM680,000) jika sabit kesalahan.
Van Nierop dibicarakan di mahkamah di Nevers, tengah Perancis, berhampiran kawasan pedalaman Chateau-Chinon, tempat dia mula bekerja pada 2008.
Van Nierop diambil bekerja oleh seorang pemburu dan mulanya disambut baik oleh penduduk tempatan yang menghadapi masalah mendapatkan perkhidmatan perubatan.
Bagaimanapun, pada 2011, pihak berkuasa mula melakukan siasatan selepas menerima aduan daripada beberapa pesakit dan syarikat insurans.
Seorang wanita, Sylviane Boulesteix, 65, berkata, dia mendapatkan perkhidmatan Van Nierop pada Mac 2012.
“Dia menyuntik saya tujuh atau lapan kali sebelum mencabut lapan gigi saya satu persatu. Saya menderita tiga hari,” katanya.
Seorang lelaki, Bernard Hugon, 80, berkata, doktor gigi itu meninggalkan cebisan daging ‘tergantung’ dalam mulutnya selepas mencabut sebatang giginya.
Polis menahan Van Nierop pada Jun 2013. Dia dibebaskan sementara menunggu untuk dibicarakan, tetapi Van Nierop meninggalkan Perancis pada Disember.
Dia akhirnya dikesan di sebuah bandar kecil di New Brunswick, Kanada dan ditangkap dengan menggunakan waran antarabangsa pada September 2014.
Media tempatan berkata, dia cuba membunuh diri ketika polis menahannya.
Dalam usaha untuk mengelak daripada dibicarakan, Van Nierop mendakwa dia tidak siuman dan mengaku membunuh isteri pertamanya.
“Dia bertindak seperti orang gila,” kata polis di New Brunswick ketika itu.
Rabu, 9 Mac 2016 @ 10:17 AM