LIKE,SHARE PAGE DAN KLIK (X) UNTUK BACA Button Close
-

Anyam kereta demi kepuasan terbaik!!!



Anyam kereta demi kepuasan

Susunan Nor Hanisah Kamaruzaman 
rencana@hmetro.com.my

Penganyam rafia (sejenis pokok palma berdaun besar) dari Nigeria, Ojo Obaniyi tidak mempunyai pendidikan formal, namun hasil kerja tangannya menarik perhatian dunia.
Biarpun ramai penganyam rafia di negara itu, Ojo lebih dikenali kerana gambar anyaman yang dihasilkannya tersebar di Internet hingga menjadi viral.
Dia bangga dengan hasil anyamannya itu dan bertekad untuk memecahkan rekod dunia suatu hari nanti.
Malah Ojo yang berketurunan peribumi Ibadan itu turut menarik perhatian dunia apabila ‘menyalut’ keseluruhan kereta Volkswagennya dengan anyaman rafia.
Dari bahagian luar seperti rim sport hingga bahagian dalam kereta termasuk stereng, tempat duduk dan papan pemuka membuatkan kereta itu benar-benar unik, apatah lagi ia digunakan Ojo setiap hari.

Keunikan itu juga membuat nama Ojo popular sekelip mata apabila beberapa laman berita memuat turun kisahnya.
Menurut Ojo, dia sengaja menghias kenderaannya itu bagi menarik perhatian pengguna jalan raya lain.
Lebih menarik, pada bahagian nombor pendaftaran kenderaan itu dia meletakkan perkataan OBANIYI sempena namanya dalam warna merah selain terselit nombor telefon.
Walaupun pendekatan itu dilihat pelik, Ojo tetap mempertahankan tindakannya sebagai usaha mempromosi atau mengiklankan kreativitinya.
“Saya ingin membuktikan bukan saja orang bijak pandai mampu melakukan perubahan positif dalam kehidupan masyarakat.
“Kami sebagai penganyam juga mempunyai bakat dalam membuat perubahan dan memberikan impak positif kepada semua,” katanya.
Berikutan itu, dia bertekad untuk melakukan sesuatu bagi memastikan orang mengenali dan menyedari kewujudan kreativitinya.
“Selain itu, ia membuktikan ramai orang Afrika dan orang kulit hitam secara amnya berbakat,” katanya.
Hasil kreativiti Ojo yang luar biasa itu pada masa sama membuktikan idea dan bakat tidak memerlukan bajet pengiklanan yang tinggi untuk menghasilkan promosi efektif.
Artikel ini disiarkan pada : 
Jumaat, 4 Mac 2016 @ 1:08 PM